Saturday, July 11, 2009

Kemalangan keretapi di Tenom pada 9 April 2008
















1. Peranan TRC membantu perhubungan komunikasi ketika kerja-kerja menyelamat, telah banyak membantu memudahkan kerja-kerja pihak berkuasa. Kebetulan lokasi kemalangan tidak diliputi oleh khidmat telefon bimbit.

2. Perhubungan alat radio nyata sangat membantu ketika kerja-kerja membawa keluar mangsa untuk mengelakkan pertembungan diantara gerabak keretapi yang membawa mangsa dan kereta pacuan empat roda yang menghantar bantuan peralatan menyelamat yang terpaksa menggunakan landasan keretapi kerana ketiadaan jalanraya menghubungi kawasan tersebut. Maklumat juga dapat diterima dengan cepat diantara Polis, Hospital, Jawatan Kuasa Bencana Alam Daerah dan kelab 4 X 4 Tenom.

Petikan Akhbar Utusan Malaysia

2 maut, 3 parah nahas kereta api

Oleh MAIL MATHEW dan SITI AZIZAH TALATA

TENOM, Sabah 9 April - Sekurang-kurangnya dua terbunuh, tiga parah manakala 16 lagi cedera ringan apabila kereta api yang membawa penumpang dari Tenom ke Beaufort terjunam ke Sungai Padas di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang lima kilometer dari pekan ini, kereta api berkuasa diesel membawa dua gerabak penumpang tersebut dikatakan bertolak pada pukul 2.50 petang sebelum terjunam ke sungai itu.
Difahamkan, terdapat runtuhan tanah di kawasan kejadian iaitu tebing sungai berhadapan Stesen Janakuasa Hidro Pangi sebelum kereta api tersebut menyeberang.
Penumpang yang cedera ialah mereka yang duduk di gerabak pertama di hadapan manakala penumpang di gerabak kedua terselamat.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mazlan Lazim berkata, semasa kejadian, terdapat 41 penumpang yang membeli tiket namun dipercayai jumlahnya melebihi angka tersebut.
Menurut beliau, mayat seorang penumpang wanita ditemui pada pukul 3.50 petang ini manakala mayat seorang lelaki ditemui pada pukul 6.30 petang.
"Kedua-dua mayat mangsa yang berusia 40-an itu telah dibawa ke hospital tetapi belum dikenal pasti identiti. Kita pada masa ini menunggu pengecaman daripada ahli keluarga.
"Jumlah mangsa yang cedera pula sehingga pukul 7 malam ini ialah 16 orang dan mereka kini dirawat di wad Hospital Daerah Tenom," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata, penumpang lain hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan berlaku disebabkan keadaan tanah di tepi sungai itu tidak stabil berikutan hujan lebat dan tidak mampu menampung berat kereta api menyebabkannya runtuh.
Salah seorang mangsa, Ambutung Simbalui, 50, memberitahu, pada mulanya dia terasa kereta api itu seperti melambung-lambung dan terhentak apabila menghampiri kawasan kejadian.
Katanya, sejurus selepas itu terdengar satu dentuman kuat sebelum kereta api tersebut terjunam hampir lima meter ke dalam Sungai Padas.
Marius Sariu, 36, yang cedera ringan pula berkata, suasana semasa kejadian menjadi kelam-kabut apabila semua penumpang cuba menyelamatkan diri masing-masing.
"Semasa itu kami di dalam gerabak terasa gelap secara tiba-tiba selepas berada di dalam air. Masing-masing kelam-kabut selamatkan diri.
"Syukurlah kami selamat dan tidak apa-apa," katanya yang bekerja di Beaufort dan menggunakan perkhidmatan kereta api tersebut untuk berulang-alik ke kampungnya di Tenom beberapa kali dalam masa sebulan.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh mengenai kemalangan kereta api di Tenom, petang ini.
Beliau berkata, Kementerian Infrastruktur Sabah perlu menjalankan siasatan mengenai tahap keselamatan landasan kereta api tersebut sebelum ia dibenarkan beroperasi semula.
''Kerajaan negeri rasa sedih di atas kemalangan tersebut sehingga menyebabkan dua kematian dan kita meminta satu siasatan menyeluruh dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


No comments:

Post a Comment